Powered By Blogger

Thursday, October 1, 2009

SEMESTER 3 - PRA PISMP :---> KOMPETENSI KECERDASAN EMOSI

ANALISIS KECERDASAN EMOSI

ANALISIS FILEM


PRAKATA

Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t. yang telah memberi taufik dan hidayah yang melimpah ruah kepada kami sehingga kerja kursus pendek ini dapat disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Kerja kursus pendek ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman tentang masalah emosi dan juga untuk menguruskan emosi diri. Dikesempatan ini, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga terutama kepada penyelaras subjek Kemahiran Kecerdasan emosi ini iaitu Pn. Halimah Bt. Yusof yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan serta teguran yang membina bagi menyiapkan kerja kursus ini dengan sebaik mungkin.

Penghargaan ini juga ditujukan kepada kedua ibu dan bapa kami yang telah banyak memberi sokongan serta dorongan kepada kami untuk menyiapkan kerja kursus ini. Walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam menyiapkan kerja kursus ini, namun mereka telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada kami. Segala peralatan dan keperluan untuk menyiapkan tugasan ini telah disediakan oleh kedua ibu dan bapa kami. Sekiranya tiada bantuan daripada mereka, kemungkinan kami akan mengalami kesukaran untuk menyiapkan kerja kursus ini dengan sebaik mungkin.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua pensyarah yang banyak membantu kami sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Selain itu, ucapan ini juga disampaikan kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak membantu kami daripada belakang sama ada dalam menyediakan bahan serta membantu memberi sumbangan idea kepada kami. Terima kasih ini juga diberikan kerana mereka telah banyak memberi bimbingan, nasihat dan semangat kepada kami. Terima kasih untuk segala-galanya.

ISI KANDUNGAN

Prakata

Bil.

Topik

Muka surat

1.0

Pengenalan

3

2.0

sinopsis filem

2.1 watak dalam filem

4 - 5

3.0

Konflik dalam filem

3.1 kenal pasti konflik

3.2 faktor-faktor konflik

6 – 9

4.0

Analisis

Cara watak menguruskan konflik yang berlaku

10 – 13

5.0

Refleksi mengenai watak utama

14 - 16

6.0

Refleksi individu

6.1 Mohamad Fahruddin b. Fazain

6.2 Abdul Hadi b. Khalid

6.3 Muhd Nurul sholihin B. Abdul Rani

17 – 20

7.0

bibliografi

21

1.0 PENGENALAN

Kecerdasan emosi merupakan suatu perkara yang melibatkan kepekaan dan pemahaman individu terhadap perasaan diri dan orang lain. Seterusnya keupayaan seseorang itu untuk menguruskan emosi diri dan keperluan orang lain demi kemantapan kendiri dan pemeliharaan hubungan yang baik dengan orang di sekeliling kita.

Keupayaan kecerdasan intelek ( IQ ) yang tinggi tidak menjamin kejayaan seseorang dalam sesuatu bidang tertentu. Didapati bahawa tanpa kekuatan dalam kecerdasan emosi, seseorang individu tidak akan dapat membuat penilaian kendiri dengan baik supaya dia dapat bertindak dan berfungsi dengan lebih berkesan dalam pelbagai situasi dan cabaran hidup yang dihadapainya.

Oleh itu, kompentensi kecerdasan emosi ( KKE ) perlulah diterapkan dalam diri setiap individu kerana ianya akan dapat membantu seseorang itu mengawal emosinya pada setiap masa. Kompentensi kecerdasan emosi kini dianggap sebagai salah satu Kemahiran Generik yang terdiri daripada Kemahiran Menilai Mentaksir dan Kemahiran berfikir, Kemahiran Pemudahcara, serta Kemahiran Menilai dan Mentaksir. Kompentensi Kecerdasan Emosi telahpun diterapkan dalam elemen-elemen Bestari dan diajar bersama-sama dengan Teori Kecerdasan Pelbagai ( TKP ) dan Gaya Pembelajaran pelajar untuk memastikan semua orang dapat mengawal emosi dirinya sendiri dan mampu untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi.


2.0 SINOPSIS FILEM

SINOPSIS FILEM SYURGA CINTA

Irham, berusia lewat 20-an anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Pn Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Dia telah bersekolah dan bekerja di sana untuk beberapa tahun dan pulang ke Malaysia kerana perlu mengambil alih syarikat milik keluarganya. Kerana terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat.

Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham. Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Alex dan Zainal sering kalah jika bertaruh. Bagi memastikan Irham kalah, mereka mencabar Irham memikat gadis bertudung kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini.

Gadis tersebut adalah Syuhadah, seorang gadis moden namun masih mempertahankan nilai-nilai sebagai seorang muslimah sejati. Dia merupakan anak yatim dan dijaga oleh datuknya sejak dari kecil. Walaupun hidup mewah namun dia tetap dididik dengan didikan agama yang cukup. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal.Hubungan Irham dan Ikmal yang tidak begitu baik sebelum ini menjadi lebih baik apabila Irham memerlukan bantuan Ikmal dalam menjayakan ’misi’nya. Melihat ‘ketulusan’ Irham yang berpura-pura mendalami ajaran Islam, hati Syuhadah terbuka untuk menerima Irham sebagai kawan dan dalam tempoh berkawan dalam diam-diam wujudnya perasaan kasih dan sayang. Irham pula sedikit sebanyak dibimbing oleh Syuhadah sehinggakan dalam tempoh sebulan tanpa dia sedari dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan dia merasa selesa dan tanpa disedari telah menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam seperti mendirikan solat.

Namun tempoh sebulan telah pun tamat dan Irham perlu berjumpa dengan Zainal dan Alex bagi menunaikan janjinya dengan membawa Syuhadah. Di depan Zainal dan Alex Irham telah berterus-terang kepada Syuhadah bahawa dia cuma “suka-suka” dan bukannya benar-benar jatuh cinta kepada Syuhadah. Syuhadah yang mendengar pengakuan itu benar-benar kecewa. Sudahlah dia susah untuk menerima cinta dari seorang lelaki kini lain pula jadinya. Syuhadah telah membawa diri pulang ke kampung. Irham menang pertaruhan tetapi dia gagal menafikan perasaannya yang sebenar terhadap Syuhadah.

2.1 SENARAI NAMA PELAKON DAN WATAK

1. IRHAM (AWAL ASHAARI)
Seorang pemuda tampan yang berumur lingkungan lewat 20 an. Dibesarkan di luar negara oleh itu sikapnya banyak dipengaruhi oleh suasana barat. Selain daripada itu, didikan agama yang tidak pernah diberikan oleh kedua orang tuanya menyebabkan dia seorang yang jahil tentang agama. Ego dan pantang dicabar tetapi sangat romantik. Mudah untuk menangis.

2. SYUHADAH (HELIZA AF5)
Berumur awal 20-an. Seorang guru agama yang baru sahaja keluar dari universiti. Sangat penyabar dan mudah memaafkan serta memberi orang peluang. Di besarkan dengan penuh didikan agama oleh datuk dan arwah neneknya. Seorang gadis bertudung yang bukan sahaja ayu tetapi terserlah dengan sifat-sifat muslimah sejati. Suka membaca dan menambahkan pengetahuannya tentang agama.

3. IKMAL (HADZIQ TOM TOM BAK)

Ikmal seorang budak lelaki yang berumur 8 tahun. Seorang budak nakal tetapi cerdik dan petah apabila bercakap. Penuh dengan idea-idea yang bernas yang dipengaruhi dari kaca televisyen. Ikmal ialah seorang budak yang mendengar kata bukan sahaja guru tetapi juga kedua orang tuannya.

3.0 KONFLIK DALAM FILEM

3.1 Kenalpasti Konflik

Konflik 1 : Irham yang baru pulang dari luar Negara telah terpengaruh dengan budaya barat. Dia yang telah lama belajar di Negara luar sudah lupa tentang adat dan budaya orang Melayu yang beragama islam. Irham juga sering berpoya-poya bersama-sama dengan rakannya.

Emosi yang terlibat : senang hati

Konflik 2 : Irham telah bertaruh dengan rakan-rakannya untuk memikat hati seorang wanita ketika diperkenalkan semasa di kafe. Masalahnya wanita itu seorang yang kuat agamanya dan memakai tudung.

Emosi yang terlibat : pantang dicabar dan tamak

Konflik 3 : Ikmal terpaksa berbohong dengan cikgunya iaitu cikgu Syuhadah untuk membantu abang angkatnya iaitu Irham dalam usaha Irham untuk memikat hati cikgu Syuhadah.

Emosi yang terlibat : terpaksa berbohong

Konflik 4 : Cikgu Syuhadah yang susah untuk terpikat dengan lelaki telah tertarik dengan Irham kerana usaha Irham untuk mendekatkan diri dengan agama Islam. Tanpa disedari, cikgu Syuhadah telah jatuh cinta kepada Irham dan hubungan mereka semakin rapat.

Emosi yang terlibat : perasaan kasih sayang

Konflik 5 : Setelah cukup tempoh sebulan, akhirnya Irham berterus-terang dengan cikgu Syuhadah bahawa dia hanya suka-suka dan bukannya benar-benar jatuh cinta kepada cikgu Syuhadah. Ini kerana Irham melakukan itu semua hanya kerana dia telah bertaruh dengan kawan-kawannya.

Emosi yang terlibat : tidak simpati, sedih dan kecewa

Konflik 6 : Irham tidak dapat menyimpan perasaannya terhadap cikgu Syuhadah. Dia telah berterus terang dengan cikgu Syuhadah bahawa dia cintakan cikgu Syuhadah. Cikgu Syuhadah dapat memaafkan semula kesalahan yang telah Irham lakukan padanya dan menerima semula Irham sebagai kekasihnya.

Emosi yang terlibat : Jujur dan berterus terang

3.2 Faktor-faktor konflik

Konflik 1 :

1. Irham telah terdedah dengan budaya dan juga gaya hidup orang di barat.

2. Kurangnya didikan agama daripada ibu bapa Irham.

3. Irham hidup dalam serba kemewahan semenjak dari kecil lagi.

Konflik 2 :

1. Irham terikut-ikut dengan sikapnya yang ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya.

2. Irham tamakkan habuan wang ringgit yang ditawarkan oleh kawan-kawannya.

3. Irham ingin membuktikan kepada kawannya bahawa dia mampu memiliki apa sahaja yang diinginkan.

Konflik 3 :

1. Ikmal mahu membantu abangnya memikat cikgu Syuhadah kerana dia sukakan cikgu Syuhadah.

2. Ikmal telah dipujuk oleh abangnya supaya membantu abangnya mendapat perhatian daripada cikgu Syuhadah.

3. Ikmal selaku anak angkat dalam keluarga Irham cuba untuk memulihkan hubungannya dengan Irham kerana sebelum ini hubungan mereka tidak begitu baik.

4. Ikmal merupakan seorang kanak-kanak yang nakal tetapi pintar dan dia mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh abangnya dengan idea-idea bernasnya.

Konflik 4 :

1. Cikgu Syuhadah telah jatuh hati di atas keikhlasan Irham yang sering membantunya.

2. Cikgu syuhadah ingin membantu semula Irham menjadi seorang muslim yang beriman dan hubungan mereka semakin rapat.

3. Cikgu Syuhadah pernah kecewa dengan percintaannya pada masa lepas dan menjadi semakin matang dalam percintaan. Oleh itu, Cikgu Syuhadah cuba untuk menebus kegagalannya itu dengan menerima Irham sebagai temannya.

Konflik 5 :

1. Irham telah mendapat apa yang dia dan rakannya pertaruhkan setelah tempoh masa sebulan berlalu.

2. Dalam hati Irham,dia tidak mempunyai perasaan belas kasihan dan timbang rasa terhadap Cikgu Syuhadah.

3. Irham sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dihajatinya walaupun berbohong.

4. Irhamhanya mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan orang lain iaitu Cikgu Syuhadah.

Konflik 6 :

1. Irham telah jatuh cinta pandang pertama terhadap Cikgu Syuhadah dan dia tidak dapat menipu hatinya sendiri tentang perasaannya kepada Cikgu Syuhadah.

2. Irham menyesali atas apa yang telah terjadi di antara dia dan Cikgu Syuhadah.

3. Irham ingin berubah daripada sikapnya yang suka berpoya-poya kepada seorang muslim yang beriman.


4.0 ANALISIS UNTUK MENYELESAIKAN KONFLIK.

Daripada filem yang telah dipilih iaitu syurga cinta, terdapat 3 watak yang telah dipilih kerana watak-watak ini terlibat dalam konflik yang diutarakan dalam filem ini.Sekiranya saya di dalam situasi konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam cerita tersebut iaitu Irham dalam konfliknya iaitu Irham yang baru pulang dari luar Negara telah terpengaruh dengan budaya barat. Dia yang telah lama belajar di Negara luar sudah lupa tentang adat dan budaya orang Melayu yang beragama islam. Irham juga sering berpoya-poya bersama-sama dengan rakannya. Watak yang terlibat dengan konflik ini ialah Irham. Watak Irham tidak berusaha untuk menguruskan konflik ini tetapi dia telah mengikut hawa nafsunya dengan berpoya-poya bersama 2 rakannya. Daripada analisis, kita dapat lihat watak Irham tidak mempunyai pengurusan diri yang betul. Sepatutnya dia tidak terikut-ikut dengan budaya daripada barat walaupun dia sudah menetap lama di luar Negara. Dari segi pengurusan social pula,Irham masih tidak mampu untuk meninggalkan tabiat buruknya ketika berada di luar Negara. Ini dapat dibuktikan apabila dia pergi berpoya-poya di disko bersama kawan-kawannya.

Konflik yang kedua pula ialah apabila Irham telah bertaruh dengan rakan-rakannya untuk memikat hati seorang wanita ketika diperkenalkan semasa di kafe. Masalahnya wanita itu seorang yang kuat agamanya dan memakai tudung. Watak yang terlibat dalam konflik ini adalah Irham. Irham telah menyelesaikan konflik ini dengan menerima pertaruhan yang dibuat oleh sahabatnya. Namun perkara yang akan harus Irham lalui ialah dia terpaksa mengorat seorang wanita yang bertudung . Masalah ini berlaku kerana sebelum ini Irham tidak pernah mendekati wanita yang bertudung. Walaupun Irham berjaya mengatasi konflik yang timbul dengan bersetuju mengenai pertaruhan itu,namun Irham masih ada masalah lain. Daripada pengurusan diri,Irham masih tidak mampu untuk menguruskan sikapnya yang sukakan pertaruhan. Dia juga pantang dicabar dan akan menerima apa sahaja pertaruhan yang dibuat oleh kawan-kawannya. Dari aspek pengurusan sosial pula, Irham sukakan pergaulan bebas dan pada masa yang sama juga, dia suka berkawan dengan orang lain dan mempunyai sikap ingin berkawan walaupun mempunyai niat yang lain.

Konflik seterusnya ialah Ikmal terpaksa berbohong dengan cikgunya iaitu cikgu Syuhadah untuk membantu abang angkatnya iaitu Irham dalam usaha Irham untuk memikat hati cikgu Syuhadah. Watak yang terlibat dalam konflik ini ialah Ikmal. Ikmal hanya ingin membantu Irham mengenal Cikgu Syuhadah dengan lebih rapat atas beberapa alasan iaitu dia mahu merapatkan hubungannya dengan Irham. Alasan kedua ialah kerana Irham benar-benar ingin mengenali Cikgu Syuhadah dan Cikgu Syuhadah merupakan guru kelas Ikmal. Dari segi pengurusan diri Ikmal,dia seorang kanak-kanak yang pintar dan mampu berfikir melebihi daya pemikiran abangnya Irham. Ikmal juga mempunyai banyak idea yang bernas untuk membantu abangnya. Analisis dari segi sosial pula mendapati Ikmal cuba mengatasi masalah hubungannya dengan Irham yang sememangnya tidak begitu rapat keranan Ikmal merupakan anak angkat sahaja. Namun, setelah dia menolong Irham hubungan mereka semakin rapat. Ikmal sangat gembira kerana hubungannya dengan Irham sudah semakin erat.

Watak seterusnya ialah Cikgu Syuhadah. Watak ini terlibat dalam konflik di mana Cikgu Syuhadah telah jatuh hati terhadap Irham. Ini kerana dalam masa dia membantu Irham mendekati agama Islam, dia telah tertarik dengan keikhlasan Irham berkawan dengannya. Dalam masa sebulan, dia telah semakin rapat dengan Irham dan mula jatuh hati dengan Irham. Perasaan ini yang telah melahirkan sebuah konflik di mana dia yang sudah tidak mahu bercinta lagi akhirnya telah menerima Irham di sisinya. Watak ingin menguruskan konflik ini dengan menerima kehadiran Irham dalam hidupnya dan berkawan dengan Irham. Menurut analisis pengurusan diri, Cikgu Syuhadah masih mampu menjaga dirinya daripada perkara mungkar. Walaupun dia berkawan dengan Irham,tetapi dia tidak terikut dengan budaya yang di bawa oleh Irham malah dia mampu untuk mengubah personaliti Irham kepada seorang yang beriman. Dari segi pengurusan sosial pula, Cikgu Syuhadah masih berpegang dengan ajaran Islam dan mengelakkan persentuhan antara bukan muhram. Ini dibuktikan apabila Irham ingin bersalam dengan Cikgu Syuhadah tetapi dia tidak menyambutnya. Selain itu, dia juga menjaga batas pergaulannya dengan Irham di mana dia sering mengingatkan Irham bahawa apabila dia keluar berdua dengan Irham mesti ada orang ketiga iaitu syaitan. Sebab itulah dia menjaga batas pergaulannya dengan Irham.

Konflik yang terakhir iaitu konflik yang menjadi klimaks bagi filem ini ialah apabila Irham berterus terang dengan Cikgu Syuhadah mengenai hubungan mereka. Setelah cukup tempoh sebulan, akhirnya Irham berterus-terang dengan cikgu Syuhadah bahawa dia hanya suka-suka dan bukannya benar-benar jatuh cinta kepada cikgu Syuhadah. Ini kerana Irham melakukan itu semua hanya kerana dia telah bertaruh dengan kawan-kawannya. Watak yang terlibat dalam konflik ini ialah di antara Irham dan juga Cikgu Syuhadah. Watak utama Irham telah menimbulkan konflik ini dan Cikgu Syuhadah terkilan dengan penjelasan yang diberikan oleh Irham. Dia yang kecewa dengan apa yang telah berlaku antara dia dengan Irham telah keluar dari kafe tersebut dengan perasaan sedih. Analisis yang dapat dilihat dari segi pengurusan diri bagi watak Irham sewaktu konflik ini ialah dia tidak berfikir panjang iaitu tidak cuba memikirkan apakan impak terhadap Cikgu Syuhadah apabila dia memberitahu perkara yang sebenar. Dia juga tidak melahirkan perasaan yang sebenar kepada Cikgu Syuhadah. Dari segi pengurusan sosial pula kita dapat melihat watak Irham masih seperti dahulu apabila bertemu dengan kawan-kawannya. Ini bermaksud dia hanya berubah apabila bersama dengan Cikgu Syuhadah sahaja tetapi berubah semula ketika bersam kawan-kawannya.

Bagi watak Cikgu Syuhadah dalam konflik ini pula,dari segi pengurusan diri, dia masih mempunyai kekuatan dalaman dengan menerima apa yang diberitahu oleh Irham kepadanya. Walaupun pada hakikatnya memang sukar untuk diterimanya kerana ia merupakan isu maruah dah perasaan. Cikgu Syuhadah yang dalam keadaan sedih meninggalkan Irham dan enggan bertemu dengan Irham. Di sini kita dapat melihat Cikgu Syuhadah tidak dapat mengawal perasaan kecewanya terhadap apa yang telah dilakukan oleh Irham terhadapnya. Dari segi pengurusan sosial pula, Cikgu Syuhadah masih mampu mengawal emosinya dan tidak melakukan sesuatu perkara yang diluar jangkaan. Cikgu Syuhadah juga tidak menghukum Irham di atas apa yang telah dilakukan Irham terhadap perasaannya. Di sini, kita dapat melihat tahap kesabaran Cikgu Syuhadah yang sangat tinggi dan mampu mengetepikan perasaan marahnya.

Kesimpulannya, kesemua watak yang terdapat dalam filem ini dilihat mempunyai kempetensi yang tinggi dalam pengurusan diri dan juga sosial mereka. Watak utama iaitu Irham yang pada mulanya tidak mampu menangani pengurusan diri dan sosialnya telah mampu mengatasi pada akhir cerita. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan diri dan juga sosial dalam menangani masalah emosi seseorang.


5.0 REFLEKSI MENGENAI WATAK UTAMA

Sekiranya saya berada di tempat watak utama di dalam filem Syurga Cinta ini iaitu Awal Asyaari atau sebagai Irham, saya mempunyai cara saya yang tersendiri untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi. Seperti yang telah dibaca, terdapat banyak konflik yang berlaku di dalam filem ini yang melibatkan pelakon utama iaitu Irham. Antara konflik berlaku dalam filem ini yang ingin saya bincangkan ialah konflik yang berlaku antara Irham dan Cikgu Syuhada. Konflik di antara Irham dan Cikgu Syuhada berlaku apabila Irham membongkarkan rahsia kepada Cikgu Syuhada yang dia sebenarnya berkawan dengan rapat dengan Cikgu Syuhada hanyalah kerana dia dicabar oleh kawan-kawanya. Cikgu Syuhada amat terasa hati lalu meninggalkan Irham. Selepas itu, Irham berasa bersalah kepada Cikgu Syuhada dan ini lah konflik yang berlaku.

Sekiranya saya ditempat Irham, konflik yang berlaku ini akan saya tangani dengan cara saya tersendiri. Dalam menanganikonflik ini, saya telah memilih aspek komunikasi. Saya memilih cara ini adalah kerana saya tahu bahawa konflik ini timbul adalah disebabkan oleh kesilapan saya sendiri. Aspek komunikasi yang saya pilih ialah kata-kata nasihat dan bimbingan. Bagi menangani masalah ini dengan menggunakan aspek komunikasi, saya akan meminta nasihat dari mereka yang berpengalaman. Seperti dalam filem ini,saya akan cuba mendapat nasihat atau bimbingan daripada ayah Cikgu Syuhada. Namun begitu, sebelum meminta nasihat saya akan memohon maaf di atas kesalahan yang telah saya buat kepada Cikgu Syuhada. Setelah saya mendapat nasihat dan bimbingan daripada ayah Cikgu Syuhada, saya percaya bahawa saya akan dapat tingkatkan keyakinan diri saya untuk berhadapan dengan Cikgu Syuhada. Seterusnya, saya akan berdepan dengan Cikgu Syuhada dan sekali lagi menggunakan aspek komunikasi iaitu berterus terang dengan Cikgu Syuhada. Dengan cara berterus terang dan memohon maaf, saya percaya bahawa konflik ini setidak kurangnya dapat diselesaikan. Aspek komunikasi amat berguna dalam menyelesaikan konflik kerana ia melibatkan komunikasi terus di antara dua pihak. Dalam komunikasi juga kita dapat menerangkan segala kekusutan yang berlaku dalam konflik yang dihadapi dan kerana itulah saya rasa sekiranya saya ditempat Irham dalam filem ini, saya akan menggunakan aspek komunikasi dalam menyelesaikan konflik diantara saya dan Cikgu Syuhada.

Selain itu, konflik yang berlaku dalam filem syurga cinta ini ialah konflik di antara Irham dan kedua ibu bapanya. Konflik di antara Irha dan kedua ibu bapanya berlaku apabila Irham mula merasakan yang dirinya tidak memiliki didikan agama daripada ayah dan ibunya. Irham sering melihat kedua ibu bapanya berfoya-foya dan tidak solat. Irham juga merasakan yang dirinya serba kekurangan dari segi agama dan juga malu untuk bercakap soal agama di hadapan Cikgu Syuhada kerana dia tidak tahu apa-apa soal agama. Sekiranya saya ditempat Irham, saya akan menyelesaikan konflik ini dengan menggunakan cara pengurusan motivasi dan amalan sikap. Pengurusan motivasi yang dimaksudkan disini ialah saya akan cuba untuk mndapatkan khidmat kaunseling dari pihak yang sebetulnya. Dalam filem ini, orang yang mungkin akan saya minta untuk bimbingan didikan agama ialah Cikgu Syuhada. Ini kerana, Cikgu Syuhada merupakan teman rapat yang tahu sedikit sebanyak tentang latar belakang saya yang kurang didikan agama. Dengan itu saya akan mudah untuk berkomunikasi dan tidak malu untuk bertanya kepada Cikgu Syuhada mengenai hal-hal agama. Selain itu, bapa Cikgu Syuhada juga boleh menjadi salah seorang individu yang saya bakal rujuki untuk mengetahui hal-hal agama kera bapa Cikgu Syuhada juga merupakan Ustaz. Dari aspek amalan sikap pula, saya akan menanam semangat dalam diri untuk berubah dan melakukan amalan yang mulia. Semua usaha yang saya jalankan seperti mendapat nasihat mengenai ilmu agama tidak akan menngubahkan saya sekiranya saya sendiri tidak ada daya usaha untuk berubah dan menanam azam untuk melakukan amal ibadah. Justeru, amala sikap juga amat penting dalam menangani konflik ini.

Keliru dengan budaya juga merupakan konflik yang ada dalam filem ini. Budaya yang dimaksudkan ialah budaya barat . Keliru dengan budaya ini berlaku pada Irham yang baru pulang dari luar Negara. Irham yang baru saja pulang dari luar Negara kerana belajar masih keliru dengan budaya barat dan budaya Negara sendiri. Irham masih terbawa-bawa budaya barat iaitu seperti mengunjungi kelab-kelab malam, bersosial bersama kawan, tidak menghirau mengenai soal agama, tidak solat dan lain lagi. Sekiranya saya di tempat Irham, konflik ini akan saya tangani dengan menggunakan aspek tingkah laku. Aspek tingkah laku yang dimaksudkan ialah, setelah saya menyedari yang saya masih keliru dengan budaya barat dan budaya Negara sendiri maka saya akan mengambil langkah-langkah untuk berubah dengan mengawal tingkah laku saya. Perubahan kepada tingkah laku saya juga bergantung kepada dorongan yang diberi orang sekeliling. Dalam file mini, dorongan tersebut mungkin dating daripada Cikgu Syuhada. Setelah saya mendapat dorongan, saya akan cuba mengawal tingkah laku saya seperti tidak lagi pergi ke kelab malam, tidak bersosial dan cuba sedaya upaya untuk melakukan amal ibadat saya. Konflik seperti ini perlu di atasi dengan cara tingkah laku kerana ia melibatkan perbuatan.

Konklusinya, sekiranya saya di tempat watak utama dalam filem Syurga Cinta ini iaitu Irham, berikut merupakan langkah-langkah yang akan saya ambil dalam menanganinya. Semua langkah mengatasi haruslah dipilih dengan bijak dan tidak membuat keputusan teburu-buru. Kecerdasan emosi amat penting dalam melakukan keputusan untuk menyelesaikan sesebuah konflik.


7.0 KESIMPULAN.

Tiada nama pengarang.(2009) kecerdasan emosi. Diambil daripada laman webhttp://linncomel.com/index.php/category/kecerdasan-emosi/ pada 12 September 2009 jam 14:40

Tiada nama pengarang.(2008). Aktiviti kecerdasan Emosi. Diambil daripada laman web http://www.faqing.org/hawkuen/aktiviti_eq.pdf pada 11 September 2009 jam 12:22

Selvam Perumal.(2009). Kursus Dalaman Kecerdasan Emosi dalam Pengajaran. Diambil daripada laman web http://www.scribd.com/doc/17364182/modul-kecerdasan-emosi pada 12 September 2009 jam 10:45

Nuffnang.(2009).sinopsis,poster,trailer,sneak preview dan info syurga cinta. Diambil daripada laman web http://www.budiey.com/sinopsis-poster-trailer-sneak-preview-dan-info-syurga-cinta/ pada 05 September 2009

Mustaffa Kamil Ayub.(2009). Sinopsis filem syurga cinta. Diambil daripada laman wenhttp://sas-2008.blogspot.com/2009/04/sinopsis-filem-syurga-cinta.html pada 05 September 2009.

No comments:

Post a Comment