Powered By Blogger

Thursday, October 1, 2009

SEMESTER 3 - PRA PISMP :---> ILMU PENDIDIKAN

MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN


PRAKATA

Kerja kursus pendek ini adalah bertujuan untuk menguji kefahaman serta pengetahuan pelajar tentang subjek pengantar pendidikan yang dipelajari pada semester 3 ini. Selain itu juga, ianya dapat menambah pengetahuan disamping menyiapkan kerja kursus ini.

Subjek pengantar pendidikan adalah satu subjek yang membincangkan konsep pendidikan dan peranan pendidikan dalam pembangunan nasional. Ianya amat bersesuaian dengan subjek yang diambil ini. Kerja kursus ini akan dapat memperlihatkan kebolehan pelajar untuk menganalisis unsur-unsur kod etika perguruan Malaysia dan juga implikasinya kepada akauntabiliti guru.

Selain itu, melalui kertas kerja ini, pelajar akan dapat menjelaskan konsep guru sebagai satu profesion. Pelajar juga akan cuba untuk menjelaskan maksud memartabatkan profesion perguruan serta menghubungkaitkan guru sebagai satu profesion dengan teras memartabatkan profesion keguruan.

Akhir sekali, setiap pelajar juga akan berpeluang untuk membuat analisis bagaimana teras memartabatkan profesion keguruan dapat meningkatkan tahap profesion perguruan.

PENGHARGAAN

Bersyukur kepada tuhan kerana dengan izinnya, kerja kursus pendek ini telah dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Dikesempatan ini,saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga terutama kepada pensyarah subjek pendidikan ini iaitu En. Zabidi B. Ariffin yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan serta teguran yang membina bagi menyiapkan kerja kursus ini dengan sebaik mungkin.

Penghargaan ini juga ditujukan kepada ibu bapa saya yang telah banyak memberi sokongan serta dorongan kepada saya untuk menyiapkan kerja kursus ini. Walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam menyiapkan kerja kursus ini,namun mereka telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada saya. Segala peralatan dan barang-barang yang saya gunakan untuk menyiapkan tugasan ini telah di sediakan oleh kedua ibu bapa saya. Sekiranya tiada mereka,kemungkinan saya akan mengalami kesukaran untuk menyiapkan kerja kursus ini dengan sebaik mungkin.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada semua pensyarah yang banyak membantu sama ada secara langsung atau tidak. Selain itu, ucapan ini juga disampaikan kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak membantu saya daripada belakang sama ada dalam menyediakan bahan serta membantu memberi sumbangan idea kepada saya. Terima kasih ini juga diberikan kerana mereka telah banyak memberi bimbingan, nasihat dan semangat kepada saya. Terima kasih untuk segala-galanya.

ISI KANDUNGAN

Prakata

Bil

Perkara

Muka surat

1.0

Pengenalan

4

2.0

Definisi

2.1 memartabatkan profesion perguruan

5

3.0

Konsep guru sebagai satu profesion

6

4.0

Hubungkait

4.1 guru sebagai satu profesion dan teras memartabatkan profesion perguruan

7 - 9

5.0

Menganalis

“Bagaimana teras memartabatkan profesion keguruan dapat meningkatkan tahap profesion perguruan”.

10 -13

6.0

Kesimpulan

14

7.0

Lampiran

7.1 Bahan internet

15

1.0 PENGENALAN

Pendidikan merupakan salah satu faktor penting dalam mencapai misi Nasional. Dalam menjayakan misi ini, guru merupakan pihak yang perlu memainkan peranan penting. Guru haruslah berusaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Sebagai seorang pendidik, guru bertanggungjawab terhadap pekerjaannya iaitu bertanggungjawab terhadap kurikulum yang telah ditugaskan untuk dilaksanakan. Oleh itu, guru harus memahami kurikulum sekolah secara mendalam supaya dapat melaksanakannya dengan sempurna tanpa sebarang kesilapan.

Selain itu, sebagai seorang yang profesional, guru pula mempunyai akauntabiliti terhadap profesionnya. Oleh itu, guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion perguruan dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi seperti mengajar murid dengan cekap dan dedikasi supaya setiap murid yang diajarnya akan berjaya mencapai keputusan akademik yang diharapkan serta menjadi seorang insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sahsiah.

Akhir sekali, guru hendaklah sentiasa berazam menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya dalam bidang pendidikan supaya dapat menjalankan tugas mengajar dengan cekap dan sempurna. Ianya sesuai dengan hasrat untuk melahirkan barisan guru yang mempunyai akauntabiliti terhadap profesionalisme keguruan dan seterusnya mencapai misi nasional dalam bidang pendidikan negara.

2.0 MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN

2.1 DEFINISI

Memartabatkan boleh ditakrifkan dengan memantapkan ataupun memperkasakan. Profesion perguruan pula telah ditakrifkan sebagai pekerjaan mengajar yang memerlukan seseorang itu mempunyai kelulusan yang tinggi dan latihan khas yang mencukupi.

Pada dasarnya, maksud memartabatkan profesion perguruan ialah untuk melahirkan golongan pekerja yang bergiat dalam bidang profesional perguruan dan merupakan orang yang mengamalkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemahirannya dalam profesion keguruan. Ini kerana guru adalah ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait dengan masyarakat yang berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah.

Untuk memartabatkan profesion perguruan, seseorang itu perlulah menjalani latihan perguruan untuk menjadi guru yang bertauliah. Umpamanya, seorang guru bertauliah mesti mempunyai sijil perguruan atau diploma pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dibenarkan mengajar di sekolah kerajaan. Walau bagaimanapun, sama ada seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mesti mempunyai pengetahuan yang luas serta mendalam tentang mata pelajaran yang ditugaskan untuknya.

Selain itu juga,untuk memartabatkan profesion keguruan itu setiap guru mestilah menguasai kaedah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya. Disamping itu, guru juga haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dihormati serta dicontohi oleh muridnya. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, penyabar, murah hati dan sentiasa bersifat penyayang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang itu menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan seperti inilah yang wajar dilalui oleh setiap guru agar dapat meningkatkan lagi komitmen guru tersebut dan seterusnya dapat terus memartabatkan profesion perguruan.

3.0 KONSEP GURU SEBAGAI SATU PROFESION

3.1 Definisi profesion

Sesuatu pekerjaan yang khusus dan dilaksanakan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, berdedikasi, bertanggungjawab, dan bermoral tinggi serta mematuhi kod etika yang ditetapkan oleh organisasinya.

3.2 Definisi perguruan

Menurut kamus dewan(1989), di bawah konteks pendidikan guru, adalah

diertikan sebagai pengajaran, misalnya perguruan kepada guru pelatih, murid, dan sebagainya. Keguruan pula telah diertikan sebagai perkara yang berkaitan dengan guru iaitu yang merangkumi peranan, tugas, dan kelayakan sebagai guru. Sebagai contoh masyarakat menyanjung sifat-sifat keguruan iaitu peranan serta tugas guru yang luhur.

3.3 Konsep guru sebagai satu profesion.

Berdasarkan kepada definisi yang telah diberikan, maka konsep guru sebagai satu profesion boleh ditakrifkan sebagai pekerjaan pengajaran yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas misalnya latihan dijalankan dalam maktab perguruan. Manakala, profesion keguruan merupakan satu pekerjaan yang berkaitan dengan peranan, tanggungjawab, sifat dan kualiti guru.

4.0 MENGHUBUNGKAITKAN GURU SEBAGAI SATU PROFESION DENGAN

TERAS MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN.

Guru sebagai satu profesion adalah pekerjaan mengajar pengajaran di sekolah atau di mana sahaja pusat pendidikan. Profesion perguruan ini dipandang tinggi serta diberi tanggungjawab yang sangat berat adalah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran mereka serta menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Bagi memartabatkan profesion keguruan, guru adalah subjek utama yang akan menyumbang ke arah pencapaian matlamat ini. Perkara utama yang perlu dilaksanakan ialah guru itu harus memahami konsep sebenar kod etika keguruan.

Setiap organisasi kerajaan ataupun swasta mempunyai kod etika yang tersendiri untuk membentuk ahlinya ke arah yang dikehendaki. Bagi seorang guru yang telah memilih pekerjaan ini sebagai profesion dalam hidupnya juga tidak terlepas dengan kod etika keguruan. Kod etika keguruan adalah bertujuan untuk menjaga status, akhlak dan maruah dalam profesionnya. Menurut kod etika keguruan, perkara pertama yang ditekankan ialah tanggungjawab terhadap pelajar.

Setiap guru haruslah mengutamakan kebajikan pelajar lebih daripada perkara yang lain. Selain itu, guru juga seharunya bersikap adil dan saksama terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor fizikal, emosi, mental, politik, ekonomi, sosial, keturunan serta agama dan perlu merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Seterusnya, guru perlu membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam matapelajaran yang di ajar dalam bilik darjah tanpa bayaran. Guru juga haruslah menunjukkan suatu cara pemakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.

Perkara yang kedua pula ialah tanggungjawab terhadap ibu bapa. Seorang guru seharusnya menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka dan berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga. Selain itu, menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan dibocorkan kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

Perkara yang seterusnya ialah tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Guru seharusnya mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar,masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan rukun negara. Guru seharusnya memupuk sikap dan nilai yang dalam diri setiap pelajar yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghoramati perbezaan kebudayaan,agama dan bangsa.

Perkara yang terakhir sekali ialah tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan. Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang menjatuhkan maruah seorang guru. Selain itu, tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan seorang guru dan sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

Bagi memastikan guru sebagai satu profesion yang dapat memartabatkan profesion keguruan, setiap guru juga telah diterapkan dengan nilai-nilai keguruan. Ini kerana guru adalah pendidik yang akan mendidik dan mengasuh kanak-kanak yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa depan. Selain menyebar ilmu,segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-muridnya. Oleh yang demikian,guru seharusnya mempunyai sifat kualiti peribadi,profesional dan sosial yang baik dan murni. Hanya guru yang mempunyai tatsusila yang baik akan berjaya menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna.

Antara contoh sifat dan kualiti peribadi yang perlu ada pada seorang guru ialah seperti baik hati, pandai berjenaka, penyabar, bertanggungjawab, yakin dan juga mempunyai ciri kepimpinan. Sekiranya seseorang guru itu mempunyai semua sifat yang dinyatakan di atas,dia bukan sahaja dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan malah dapat menarik perhatian pelajar dan akan membuatkan pelajar lebih mendekatinya.

Selain daripada itu, untuk memartabatkan profesion perguruan seseorang guru itu juga mestilah mempunyai akauntabiliti. Akauntabiliti mengikut kamus dwibahasa ialah bertanggungjawab kepada seseorang. Ini bermaksud, seorang guru itu haruslah mempunyai tanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan. Akuntabiliti guru boleh dihuraikan kepada beberapa bidang tugas termasuk diri seperti bidang pekerjaan, sekolah, tingkah laku kendiri, murid serta profesion.

Sebagai seorang pendidik, guru bertanggungjawab terhadap pekerjaannya,iaitu akautabilitinya terhadap kurikulum yang ditugaskan untuk dilaksanakannnya. Oleh itu,guru harus memahami kurikulum sekolah secara mendalam supaya dapat melaksanakannya dengan sempurna tanpa sebarang kesilapan. Sekolah pula ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu, guru juga bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah, guru mempunyai akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah.

Manakala untuk tingkah laku pula akan sering menjadi teladan kepada murid-murid. Oleh itu, guru haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid-murid untuk dicontohi. Dalam hal ini, guru mestilah sentiasa berpakaian kemas,berkelakuan baik,bersopan santun,berbudi bahasa, sentiasa menepati masa,rajin dan mempunyai sikap positif. Akhir sekali, sebagai seorang profesional, guru pula mempunyai akauntabiliti terhadap profesionnya. Oleh itu, guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion keguruan dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi seperti mengajar murid dengan cekap dan dedikasi supaya murid yang diajarnya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akademik seperti yang diharapkan.

Berdasarkan kepada bukti-bukti yang telah diberikan di atas,jelaslah bahawa guru sebagai satu profesion mempunyai hubungkait yang sangat besar untuk memartabatkan profesion keguruan. Ianya sesuai dengan matlamat falsafah pendidikan guru yang menginginkan semua guru supaya memainkan tanggungjawab masing-masing agar dapat terus memartabatkan profesion perguruan.

5.0 ANALISIS BAGAIMANA TERAS MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN DAPAT MENINGKATKAN TAHAP PROFESION PERGURUAN.

Dalam proses memartabatkan profesion keguruan,pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan tahap profesion perguruan di negara ini.

Untuk memastikan apakah usaha ini membuahkan hasil yang diinginkan, analisis telahpun dijalankan dan terdapat pelbagai usaha yang dapat kita kenal pasti adalah antara usaha yang dijalankan benar-benar memberi kesan yang diinginkan. Antara usaha yang telah dilaksanakan dalam meningkatkan tahap profesion perguruan ialah seperti mensiswazahkan kesemua guru yang masih tidak mempunyai ijazah. Perkara ini sudah dijalankan semenjak tahun 2005 lagi di mana kesemua guru yang masih mengajar di sekolah dan tidak mempunyai ijazah di galakkan dan disarankan untuk mendapatkan ijazah mereka di institut perguruan yang berdekatan.

Tujuannya adalah untuk menyeragamkan kesemua pendidik yang mengajar tidak kira sama ada di sekolah rendah atau menengah mempunyai sijil tertinggi sekurang-kurangnya ijazah dalam bidang perguruan. Dengan ini,maka kesemua guru akan semakin dipandang tinggi malahan mempunyai ilmu yang lebih tinggi untuk mengajar di sekolah. Dalam merealisasikan usaha ini, guru-guru akan mendapatkan kursus mereka sewaktu cuti sekolah dan kursus yang diambil mereka diberi nama kursus dalam perkhidmatan (KDP ). Ianya adalah mengikut kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PIPP) yang mahukan kepada tenaga pengajar yang lebih berkualiti. Maka dengan ini, selepas tahun 2010 diharapkan kesemua guru yang akan mengajar subjek di sekolah akan memegang jawatan sebagai guru yang berijazah dan ini akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada guru yang lebih berkualiti.

Walaupun ramai orang yang beranggapan bahawa pengalaman mengajar adalah lebih penting berbanding sijil pendidikan yang tinggi tetapi tidak dinafikan bahawa untuk mempunyai sijil yang tinggi adalah suatu kepentingan kepada seorang tenaga pengajar. Dengan usaha PIPP yang ingin mensiswazahkan kesemua guru yang belum memiliki ijazah amatlah bertepatan dengan hasrat untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain itu, peningkatan taraf kelulusan SPM kepada calon lepasan SPM untuk dipilih bagi mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Malaysia telah dipertingkatkan lagi semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Ianya bertujuan untuk mendapatkan calon yang paling sesuai untuk belajar di institusi pendidikan ini. Selain itu, seseorang calon itu akan menjalani sesi temuduga terlebih dahulu bagi meluluskan diri mereka untuk menjadi penuntut di institusi pendidikan ini.

Hasrat ini adalah bertujuan untuk memilih calon yang benar-benar sesuai dan berminat untuk menjadi seorang guru. Selain itu,pelbagai kriteria juga telah dipilih untuk menjadi pelajar di institusi ini. Antara keputusan yang menjadi pilihan para juri yang memilih pelajar untuk dimasukkan ke dalam institusi pendidikan ini ialah mendapat sekurang-kurangnya 7A dan lulus dalam kesemua subjek yang diambil daam peperiksaan SPM. Dengan ini,pelajar yang telah dipilih adalah pelajar yang benar-benar berkelayakan dan mampu untuk memikul tugas uantuk menjadi seorang pelajar yang bakal menjadi seorang guru.

Seterusnya,tempoh masa pelajar ambilan SPM ini ialah selama 5 tahun setengah di mana pelajar akan melalui masa selama 1 tahun setengah iaitu program PRA PISMP sebelum melalui program PISMP selama 4 tahun iaitu 8 semester. Dengan itu, pelajar ini akan mendapat didikan yang sepenuhnya dalam bidang perguruan dan dalam pada masa yang sama, pelajar juga turut didedahkan dengan dunia perguruan dan mengajar. Nilai-nilai seorang guru juga akan diterapkan dari masa ke masa oleh pensyarah yang mengajar. Oleh itu, maka akan lahirlah seorang guru yang mempunyai pengalaman yang secukupnya untuk menempuh alam mengajar kerana dia telah mendapat ilmu serta pengalaman yang secukupnya semasa belajar di institut perguruan.

Usaha lain untuk memartabatkan profesion keguruan ialah kerajaan telah memansuhkan kursus diploma perguruan (KDP). Kini sudah tiada lagi guru yang akan keluar dengan sijil diploma perguruan kerana ianya sudah diseragamkan agar guru yang menamatkan pengajiannya di institut pendidikan mempunyai ijazah sarjana muda pendidikan. Sebelum ini, kursus diploma perguruan amat popular di semua maktab perguruan di seluruh Malaysia. Namun setelah maktab ditukar nama kepada institut pendidikan maka tiada lagi kursus diploma perguruan yang di laksanakan di institut pendidikan.

Dengan itu, maka tahap pendidikan di negara kita sudah meningkat dengan baik sekali di mana ianya telah meningkat positif. Selain itu juga, pelajar yang mendapat pengajian di insitut pendidikan ini turut diberi pengiktirafan yang tinggi.

Akhir sekali, usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan tahap profesion keguruan di Malaysia ialah mengambil pelajar lepasan ijazah daripada seluruh Malaysia untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan. Kursus ini diberi nama KPLI iaitu Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Kursus ini telah dilaksanakan untuk menambah bilangan tenaga pengajar di semua sekolah di Malaysia. Ini kerana masih tidak mencukupi lagi tenaga pengajar yang sudah sedia ada. Pelajar lepasan ijazah ini telah di ambil setelah melalui beberapa ujian di peringkat permulaan. Setelah selesai kesemuanya, pelajar yang dipilih akan mengikuti kursus selama 1 tahun.

Selama 1 tahun peljar KPLI ini belajar di institut pendidikan,mereka akan diberikan dengan ilmu yang secukupnya. Ini kerana mereka sudah mempunyai ilmu yang tinggi cuma kurang ilmu mengenai perguruan sahaja. Oleh itu, masa selama 2 semester untuk mereka belajar mengenai alam perguruan. Semester terakhir pelajar ini akan menduduki praktikal di sekolah. Namun,masih terdapat rungutan daripada pihak sekolah bahawa pelajar KPLI ini masih belum bersedia untuk mengajar. Dengan itu, ada cadangan daripada beberapa pihak untuk menambahkan tempoh masa belajar kepada pelajar KPLI ini kepada 1 tahun setengah. Ini kerana kemungkinan kesibukan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti luar sehinggakan mereka kekurangan masa untuk menerapkan nilai-nilai seorang guru sehinggakan apabila menjalani praktikal mereka masih tidak mampu menunjukkan prestasi yang baik.

Oleh itu, diharapkan hasrat untuk menambahkan tempoh masa pengajian bagi pelajar KPLI akan terlaksana dan dengan ini, pelajar KPLI ini akan lebih terlatih dan akan lebih bersedia untuk mengajar apabila dihantar mengajar.

Berdasarkan kepada semua bukti daripada analisis yang telah dijalankan, maka dapat disimpulkan di sini bahawa dalam memartabatkan profesion keguruan ini,sememangnya sudah banyak perkara yang telah dilaksanakan oleh beberapa pihak terutama pihak kerajaan. Hasilnya kita telah dapat lihat beberapa pembaharuan terutama dalam bidang pemilihan bakal guru pelatih yang akan menjadi nadi kepada pendidikan negara.

Seterusnya dapat disimpulkan juga bahawa usaha untuk memartabatkan profesion keguruan ini amatlah berguna dan ianya juga secara tidak langung telah dapat meningkatkan tahap profesion perguruan di Malaysia. Dengan lahirnya ramai guru yang berijazah serta mempunyai dedikasi yang tinggi, maka tahap pendidikan di negara kita akan menjadi lebih baik dan akan berkembang selaras dengan kemahuan kerajaan yang menginginkan kecemerlangan di bidang pendidikan. Dengan tertubuhnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, maka kesemua ini telah terlaksana dengan jayanya dan bakal memberi impak yang positif terhadap bidang pendidikan bagi negara kita iaitu Malaysia.

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, memperlihatkan kepada teras memartabatkan profesion keguruan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, kita telah dapat lihat berbagai perubahan dalam sistem pendidikan negara. Ianya seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara setanding dengan negara maju yang lain.

Selain itu, dalam memastikan semua hasrat ini tercapai, profesion perguruan merupakan satu badan yang perlu dipertingkatkan dahulu tahap kecekapannya dan dengan beberapa usaha yang telah dilaksanakan seperti mensiswazahkan kesemua guru yang masih belum mepunyai ijazah, meningkatkan taraf kelulusan bagi pelajar lepasan SPM yang memohon untuk masuk ke institut pendidikan, menghapuskan kursus diploma perguruan dan yang terakhir meningkatkan tempoh masa pengajian bagi pelajar kursus KPLI di negara ini adalah merupakan antara usaha yang terbaik dalam meningkatkan tahap kredibiliti seorang guru.

Akhir sekali, dengan adanya guru yang profesional dan usaha yang lain, maka hasrat untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pendidikan pada masa akan datang akan dapat dipertingkatkan dan seterusnya mencapai misi wawasan 2020 negara kita Malaysia.

7.0 BIBLIOGRAFI

MOK SOON SANG,(2004). Penghantar Teras Pendidikan,untuk kursus persediaaan Program Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah(cetakan ke-3). Percetakan Sentosa(K.L) sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

MOK SOON SANG,(2002), Pendidikan di Malaysia untuk Kursus Diploma Perguruan:semester 2, kumpulan Budiman Sdn Bhd, Subang Jaya, Selangor.

Scribd, ( 2008 ). Falsafah Pendidikan Guru. Usaha Untuk Meningkatkan

Profesion Keguruan. Diambil daripada internet di laman web

http://www.scribd.com/doc/2065614/Falsafah-Pendidikan-Guru. Tarikh ambilan pada

18 Ogos 2009 jam 22:34.

Y.A.B Dato Seri Hj Abdullah B. Hj Ahmad Badawi. ( 2007 ). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP ) 2006-2010 ( RMK –9 ). Diambil daripada laman web http://www.kmph.matrik.edu.my/PIPP/moe_pipp_00.pdf pada tarikh 22 Ogos 2009 jam 13:45.

1 comment: